PULAU PINANG, 11 October 2023 – Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (“Boon Siew Honda”) dan Berjaya Sompo Insurance Berhad (“Berjaya Sompo”) telah bekerjasama untuk menyediakan dua pakej insurans motosikal komprehensif yang baru, khusus direka untuk pemilik motosikal Honda.
Ia adalah Honda Impian X Insurance Plan untuk liputan motosikal Honda dengan kapasiti 250cc ke bawah dan Honda BigWing Insurance Plan untuk liputan motosikal Honda dengan kapasiti 251cc ke atas.
Antara ciri-ciri utama liputan termasuk bantuan kecemasan 24 jam, dengan perkhidmatan towing di seluruh Malaysia. Ia meliputi lokasi kemalangan atau kerosakan ke pengedar Honda Impian X atau Honda BigWing pilihan anda. Perkhidmatan angkut percuma ini adalah amat berguna untuk para penunggang motosikal yang selalu berada di jalan, memberikan mereka ketenangan fikiran di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa mereka menghadapi kecemasan.
Pakej insurans komprehensif yang baru ini juga dilengkapi dengan perlindungan khas untuk risiko-risiko tertentu akibat bencana alam. Ini merangkumi kerosakan atau kehilangan motosikal disebabkan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Dengan cuaca yang tidak menentu baru-baru ini di negara kita, penunggang motosikal seharusnya sentiasa bersedia menghadapi bencana alam, terutamanya banjir kilat yang telah merosakkan banyak kenderaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Di bawah Honda Impian X Insurance Plan dan Honda BigWing Insurance Plan, manfaat asas termasuk perlindungan terhadap kerugian kewangan akibat kebakaran atau pencurian dan kerosakan tidak sengaja kepada kenderaan tertanggung selain daripada perlindungan terhadap tanggungjawab undang-undang kepada pihak ketiga atas kematian dan kecederaan badan serta kerosakan harta benda yang mungkin timbul melalui kelalaian penunggang motosikal. Pemegang polisi juga boleh menaiktaraf rancangan perlindungan mereka untuk termasuk liputan tanggungjawab undang-undang untuk penumpang belakang dan tambahan kemalangan peribadi penunggang motosikal.
Kerjasama antara Boon Siew Honda dan Berjaya Sompo akan memberi manfaat kepada komuniti peminat motosikal di Malaysia kerana ia bertujuan untuk menyediakan perlindungan insurans yang dapat dipercayai dan komprehensif, dengan perlindungan menyeluruh yang merangkumi bantuan di tepi jalan beserta perkhidmatan angkut percuma, kemalangan peribadi percuma bernilai RM5,000, pelepasan caj tambahan wajib, liputan untuk semua penunggang motosikal, dan nilai setuju insurans untuk motosikal Honda.
Kerjasama ini juga merupakan bukti komitmen Boon Siew Honda untuk menyediakan perlindungan insurans berkualiti dan perkhidmatan tambah nilai untuk pemilik motosikal Honda di Malaysia. Ia menyediakan peluang yang sangat baik untuk memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Honda Impian X Insurance Plan dan Honda BigWing Insurance Plan, pelanggan boleh kunjungi pengedar Sah Honda atau menghubungi nombor Bebas Tol Boon Siew Honda di 1-800-88-3993 atau log masuk ke www.boonsiewhonda.com.my.
