Boon Siew Honda Meraikan Ramadan dengan Gerak Bersama Honda, Bersama Di Hati

3rd April, 2024

Kuala Lumpur, 31 Mac 2024 – Boon Siew Honda Sdn. Bhd. yang juga dikenali sebagai Honda Motorcycle Malaysia telah menganjurkan program komuniti, Gerak Bersama Honda, Bersama Di Hati sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, semalam. Program ini merupakan usaha kami meraikan bulan Ramadan melalui perkongsian rezeki dan aktiviti turun padang untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur.

Program ini telah dihadiri oleh YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh, Tuan Mitsuharu Funase, Ketua Pegawai Eksekutif, Boon Siew Honda, Tuan Kunitomo Asano, Ketua Eksekutif Pemasaran, Boon Siew Honda, Encik Attar Bacha, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur, dan tetamu-tetamu terhormat yang lain.

Tiga aktiviti utama telah diadakan semalam iaitu perkhidmatan pemeriksaan motosikal Honda percuma, pembungkusan dan pengedaran Pek Keceriaan Honda, serta pengagihan Bubur Lambuk kepada penduduk.

Pemeriksaan motosikal Honda percuma adalah inisiatif CSR berterusan Honda Motorcycle Malaysia yang telah lama dianjurkan, di mana kami menawarkan pemeriksaan dan perkhidmatan servis percuma kepada komuniti. Bagi program kali ini, sebanyak 80 slot pemeriksaan motosikal telah diperuntukkan kepada penduduk PPR Kampung Muhibbah. Setiap motosikal yang mendaftar akan melalui 5 titik pemeriksaan yang merangkumi pemeriksaan tayar, minyak enjin, palam pencucuh, bateri dan rantai gegancu. Pemilik motosikal kemudian boleh menebus servis penukaran minyak enjin percuma di Honda Impian X Chai Ken Motorcycles di Kinrara, Kuala Lumpur dan membaiki isu-isu lain yang telah dikenal pasti oleh juruteknik profesional Honda semalam.

Sebanyak 40 Pek Keceriaan Honda yang mengandungi makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, biskut, garam, dan makanan dalam tin telah diedarkan oleh barisan pihak pengurusan Boon Siew Honda kepada rumah-rumah terpilih PPR Kampung Muhibbah juga. Inisiatif ini telah memberi peluang kepada Honda Motorcycle Malaysia untuk berinteraksi dengan lebih dekat dengan komuniti.

Selain itu, 1,000 bungkus Bubur Lambuk telah diedarkan kepada penduduk PPR yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan umur untuk dinikmati. Setiap bungkusan Bubur Lambuk mengandungi kurma dan minuman, sesuai untuk berbuka puasa atau makan malam.

Sempena penggal sekolah yang baru bermula serta inisiatif kami untuk melibatkan kanak-kanak untuk turut menerima manfaat dan kegembiraan Gerak Bersama Honda, Bersama Di Hati, kami juga menghadiahkan 300 set mewarna kepada kanak-kanak setempat dengan harapan set mewarna ini menjadi pelengkap kepada alat tulis mereka yang boleh digunakan sepanjang semester atau tahun persekolahan.

Tuan Mitsuharu Funase, Ketua Pegawai Eksekutif, Boon Siew Honda berkata “Ini adalah kali pertama Boon Siew Honda menyertai program komuniti berskala besar di mana ia terdiri daripada pelbagai perkongsian rezeki kepada golongan yang lebih menyeluruh. Saya bersyukur kerana Boon Siew Honda berjaya menyemarakkan Semangat Impian melalui khidmat komuniti kepada masyarakat. Persahabatan dan hubungan baharu yang dibina serta peluang untuk melihat kegembiraan pada wajah penduduk setempat merupakan pengalaman yang sangat berharga buat kami. Kami berharap agar kami dapat terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat melalui produk dan servis kami.”

“Kami berterima kasih kepada Boon Siew Honda kerana sudi berkongsi rezeki membantu kami melalui pemberian barangan asas dan servis pemeriksaan motosikal. Gabungan kedua-dua inisiatif unik ini telah memberi inspirasi kepada masyarakat untuk memastikan diri dan kondisi motosikal mereka sentiasa dalam keadaan baik, terutamanya musim perayaan akan tiba tidak lama lagi,” kata Attar Bacha, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur.

Selain daripada tiga aktiviti utama yang disebutkan di atas, borang kajian soal selidik juga diedarkan untuk mengumpul maklum balas penduduk terhadap perkhidmatan Honda Motorcycle Malaysia. Maklum balas kajian ini penting untuk membantu kami menghasilkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat.

Program ini juga turut dihadiri oleh Aman RA, duta Honda Motorcycle Malaysia, barisan pihak pengurusan Boon Siew Honda, rakan-rakan media, kakitangan, kru, dan sukarelawan.

Kami mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang menjadikan Gerak Bersama Honda, Bersama Di Hati sebuah kejayaan. Kami berharap agar kami dapat terus memberi perkhidmatan dan produk terbaik kepada masyarakat pada masa akan datang.

Kongsi: